Selamat Hari Raya

Posted: 12th October 2007 by daddy in Uncategorized

Well, it’s raya eve. The last day of puasa and before you know, takbir raya will be berkumandang in the air.

Esok 1 Syawal, 1428 H. Kepada sesiapa yang merasakan diri mereka telah memenuhkan Ramadan kali ini dengan ibadah, tahniah diucapkan. Masih panjang lagi perjalanan ini dan masih banyak lagi keampunan Ilahi yang dicari.

Selamat hari raya aidilfitri saya ucapkan. Maaf zahir batin dipohon.

Hari raya adalah hari kemenangan. Hari yang kita tunggu-tunggu, terutamanya kepada mereka yang menyambut hari ini dengan penuh kesyukuran. Ada yang merayakan hari ini pertama kali sebagai suami dan isteri. Semoga ianya akan kekal abadi. Ada juga yang merayakan hari ini pertama kali sebagai ibu dan ayah. Hargailah kurniaan Ilahi.

Dan ada juga yang menyambut Hari Raya 1428 ini dengan kehadiran teman istimewa. Bagi mereka yang sedang bercinta, tentunya ingin berkongsi kegembiraan itu bersama yang tersayang.

Namun, di sebalik kegembiraan yang dirasai, janganlah kita lupa kepada mereka yang berduka. Ada yang baru sahaja kehilangan orang yang tersayang. Alfatihah menjadi pengiring doa tatkala mengingati pemergian itu.

Bagi saya, hari raya kali ini tidak ubah seperti tahun-tahun sebelum ini. Sejak pemergiaan Arwah ayah, kami sekeluarga menyambut ketibaan Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan. Pagi raya dimulai dengan solat Aidilfitri. Sebaik sahaja pulang daripada surau, kami akan bersalaman dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Selepas menikmati sedikit juadah yang disediakan oleh ibu tersayang, kami akan segera menziarahi pusara arwah ayah. Bacaan surah Yasin dan bekalan Alfatihah disedekahkan agar roh arwah sentiasa dipelihara dan dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa.

Itulah yang sering kami lakukan pada pagi hari raya sejak arwah ayah pergi meninggalkan kami pada tahun 2001.

Namun, pada aidilfitri kali ini, saya mempunyai sebab untuk senyum dan bergembira. Saya ada dia untuk berkongsi hati saya.

Kepadanya, saya ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kepadanya juga saya katakan, dirinya sentiasa di hati.