Utusan Malaysia 4 November 2007

Posted: 4th November 2007 by daddy in Uncategorized

Ramli ke Mekah mengerjakan umrah

SEPANG 3 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusoff yang sedang berdepan tiga tuduhan di mahkamah, berlepas untuk menunaikan umrah di Mekah, petang ini.

Ramli, 55, berangkat ke Jeddah dengan penerbangan MH 0150 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 3.15 petang ini.

Difahamkan, beliau berangkat bersama-sama rombongan yang turut disertai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Rombongan itu turut disertai lebih 200 rakyat Kelantan.

Usaha pihak media untuk menemuramah Ramli di KLIA gagal kerana beliau dipercayai mendaftar masuk seawal pukul 10.30 pagi dan menunggu untuk pelepasan di Kompleks Bunga Raya.

Khamis lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ramli didakwa atas dua tuduhan gagal mendedahkan maklumat harta dan saham dimilikinya serta satu tuduhan menjalankan perniagaan.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pada sidang akhbar 31 Oktober lalu, Ramli berkata, beliau tidak akan meletak jawatan disebabkan tuduhan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu.

Menurut Ramli, selain menunaikan umrah, beliau juga akan bercuti selama 40 hari untuk mengerjakan haji pada 8 atau 9 Disember ini.